Cara Claim Insurans Kerosakan Kereta Kecuaian Sendiri

kereta langgar pagar rumah
Panduan Dan Cara Tuntuan Atau Claim Insuran Kereta Rosak Berpunca Atas Kesalahan Sendiri Yang Menyebabkan Kemalangan.

Tahukah anda, sekiranya kereta anda mengalami kerosakan disebabkan kemalangan kecil yang berpunca dari kecuaian sendiri tanpa melibatkan pihak ketiga atau individu lain, anda juga boleh membuat tuntutan (claim) insurans untuk kos baik pulih kereta anda.

Bagi membolehkan membuat tuntutan insurans, Perkara utama yang perlu tahu adalah polisi insurans kereta anda mestilah Insurans komprehensif atau lebih dikenali sebagai insuran First Party.

Dengan memiliki polisi Insurans komprehensif ,anda boleh membuat tuntutan insurans di bawah kerosakan sendiri (Own Damage Claim / OD) tetapi tuntutan ini akan memberi kesan kepada kadar No-Claim Discount (NCD) yang akan menyebabkan anda kehilangan NCD secara automatik.

Sebagai contoh, kadar NCD anda ketika terjadinya kemalangan tersebut adalah sebanyak 30%, kadar tersebut akan kembali kepada 0% pada tahun berikutnya. Perkara ini secara tidak langsung akan mengakibatkan harga lebih mahal semasa hendak membeli (memperbaharui) insurans nanti.

Sekiranya anda tidak mahu kehilangan NCD Insurans, anda perlu menilai terlebih dahulu kos baik pulih kereta. Jika kos baik pulih tersebut, anda mampu membayarnya atau lebih berbaloi bayar sendiri kos balik pulih tersebut daripada membuat sebarang tuntutan insuran.

Namun, jika anda berpendapat lebih berbaloi membuat tuntutan insuran disebabkan kos baik pulih yang tinggi, anda boleh buat tuntutan insurans di bawah tuntutan kerosakan sendiri (Own Damage Claim / OD).

Kemalangan kecil atas kecuaian sendiri bermaksud anda secara tidak sengaja melanggar apa-apa objek yang menyebabkan kerosakan pada kereta dimana ketika itu anda berada dalam keadaan normal bukan berada di bawah pengaruh dadah ataupun alkohol.

Contoh yang terdekat, anda secara tidak sengaja langgar pagar, tembok rumah sendiri semasa ingin keluar atau masuk parking rumah sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada kereta anda.

Berikut adalah langkah-langkah atau cara membuat tuntutan insurans kos balik pulih kerosakan kereta berpunca dari kemalangan kecil atas kecuaian sendiri.

  1. Ambil gambar di bahagian kerosakan kereta dan tempat kejadian dengan baik dan jelas terutamanya no plat dan geran (VOC) kerana semasa membuat laporan polis di balai polis atau trafik terdekat kemungkinan pihak polis / trafik akan meminta geran (VOC), gambar keadaan kereta dan tempat kejadian tersebut.
  2. Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam dari tarikh kejadian dengan menyatakan punca terjadinya kemalangan tersebut. Pihak polis menanyakan beberapa perkara dan soalan nanti. Anda berkemungkinan akan dikenakan kompaun bergantung kepada penilaian pihak polis terhadap laporan anda.
  3. Sekiranya kereta anda boleh dipandu lagi, sebaiknya bawa kereta tersebut semasa membuat laporan polis.
  4. Menghubungi pihak insurans dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh kemalangan bagi memaklumkan dan mengetahui prosedur tuntutan dengan lebih jelas selain untuk mengetahui senarai bengkel panel. Jika kerosakan tersebut menyebabkan kereta tidak boleh dipandu, anda boleh meminta bantuan towing (trak tunda) insurans untuk membawanya ke bengkel panel atau pusat servis.
  5. Sediakan salinan dokumen dengan lengkap iaitu laporan polis, geran (VOC) kereta, polisi insuran (Cover Note), kad pengenalan dan lesen memandu untuk diserahkan kepada pusat servis atau bengkel panel. Proses seterusnya akan dilakukan oleh pusat servis atau pihak bengkel panel insurans.
  6. Setelah semua perkara diatas dilakukan, beberapa hari kemudian pihak insurans akan menelefon anda berhubung dengan tuntutan insuran berkenaan.

Sebagai pengetahuan, sebahagian kos balik pulih kereta tersebut akan di tanggung oleh anda sekiranya anda bersetuju untuk menukar alat ganti yang original disebabkan usia kereta anda telah melebihi 5 tahun. Ini kerana Betterment dalam polisi insurans.

Betterment adalah merujuk kepada kos tambahan perlu ditanggung sendiri bagi alat ganti original semasa membuat tuntutan terutamanya kereta di hantar untuk baik pulih di pusat servis rasmi (Official) jenama kereta anda.

Kadar Peratus Tambahan (Betterment)
Usia Kereta Kadar Caj Betterment
Bawah 5 tahun 0%
5 Tahun 15%
6 Tahun 20%
7 Tahun 25%
8 Tahun 30%
9 Tahun 35%
10 Tahun & Keatas 40%

Merujuk kepada Betterment diatas, kereta baru bawah 5 tahun tiada apa-apa cas tambahan yang dikenakan kepada anda, ia akan ditanggung sepenuhnya (100%) oleh syarikat insurans.

Bagi kereta melebihi 5 tahun dan keatas yang memilih untuk menukar alat ganti original anda perlu membuat bayaran tambahan mengikut kadar peratus (%) seperti di atas.

Sebagai contoh, jumlah alat ganti original yang di tukar termasuk kos upah berjumlah RM5,000 dan kereta anda telah berusia 10 tahun atau lebih. Anda perlu mengeluarkan kos tambahan untuk dibayar kepada pusat servis atau bengkel panel sebanyak 40% dari kos keseluruhan balik pulih tersebut. Selebihnya 60% lagi akan ditanggung oleh pihak insuran.

Sekiranya anda mahu pihak insurans menanggung sepenuhnya kos balik pulih dengan bersetuju menukar alat ganti jenis OEM yang bukan Original selain menghantar kereta anda di bengkel panel dan bukannya di pusat servis rasmi (Official) jenama kereta anda.

Perkara-perkara yang dinyatakan adalah berdasarkan pengalaman editor sendiri. Nampak proses tuntutan sedikit merumitkan selain memerlukan masa serta terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira.

Jadi, fikir dahulu dan menilai adakah berbaloi membuat tuntutan insurans ataupun lebih baik baiki kerosakan kereta tersebut dengan duit sendiri.