Mendapatkan lesen memandu adalah satu langkah penting dalam kehidupan banyak individu di Malaysia. Namun, harga yuran pembelajaran dan latihan pemanduan di Institut Memandu (IM) atau Sekolah Memandu (SM) sering kali menjadi isu hangat diperkatakan. Ini kerana, kalangan calon-calon yang ingin memiliki lesen memandu sah, baik untuk kereta mahupun motosikal menganggap harga yuran ini terlalu mahal dan membebankan mereka yang berkemampuan terhad.
Harga Yuran Belajar Memandu
Bagi banyak calon, yuran pembelajaran dikenakan untuk mendapatkan lesen memandu sering dianggap terlalu mahal. Ini menyebabkan ada di antara mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk memiliki lesen memandu.
Selain daripada faktor ekonomi, terdapat juga aspek keselamatan yang perlu dipertimbangkan apabila individu memutuskan untuk memandu atau menunggang tanpa lesen.
Risiko kemalangan dan tindakan undang-undang yang mungkin timbul merupakan isu serius yang tidak boleh diabaikan. Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melaporkan bahawa bilangan mereka yang memandu tanpa lesen semakin meningkat dan ini adalah satu trend yang membimbangkan.
Harga Siling dan Caj Tambahan
JPJ telah menetapkan harga siling bagi permohonan lesen memandu berdasarkan kelas-kelas kenderaan tertentu. Harga siling ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada caj tidak wajar. Namun, terdapat laporan bahawa beberapa Institut Memandu mengenakan caj melebihi harga siling ditetapkan. Ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kemudahan tambahan, perkhidmatan latihan lebih baik dan juga lokasi yang mungkin mempengaruhi kos operasi.
Sekiranya pihak Institut Memandu mengenakan caj tambahan, mereka wajib memberikan penjelasan terperinci mengenai setiap butiran caj tersebut. Ini adalah penting bagi memastikan tiada kekeliruan di kalangan calon dan mereka dapat membuat keputusan yang lebih bijak tentang pilihan mereka. Keterbukaan dan ketelusan dalam pengurusan yuran adalah langkah penting untuk membina kepercayaan antara Institut Memandu dan calon.
Kelayakan Umur dan Proses Permohonan
Bagi mereka yang ingin memohon Lesen Motosikal (B2) atau Lesen Motosikal Berkuasa 500cc Superbike (B Full), kelayakan umur yang ditetapkan adalah 16 tahun ke atas. Manakala bagi lesen memandu kereta, sama ada Transmisi Automatik (DA) atau Transmisi Manual (D), kelayakan umur adalah 17 tahun ke atas.
Kesedaran dan Pendidikan Pemanduan
Pendidikan pemanduan yang baik bukan sahaja boleh mengurangkan risiko kemalangan tetapi juga membantu individu memahami tanggungjawab mereka sebagai pemandu. Selain itu, pelbagai inisiatif juga boleh diambil oleh pihak kerajaan dan Institut Memandu untuk menawarkan kursus yang lebih berpatutan dan memberi bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.
Senarai Harga Yuran Belajar Lesen Memandu 2025
Berikut editor sertakan maklumat harga siling serta anggaran harga munasabah bayaran yuran pembelajaran dan latihan pemanduan di Institut Memandu atau Sekolah Memandu sekiranya caj dikenakan melebihi paras harga siling yang ditetapkan bersertakan jenis-jenis kelas Lesen Memandu.
Harga Siling Dan Harga Anggaran Munasabah
Lesen | Kelas | Harga Siling (Harga Kawalan) | Anggaran Harga Munasabah (+ Caj Lain) |
---|---|---|---|
Motosikal | B2 | RM350 | RM450 |
B (Full) | RM900 | RM1,150 | |
Kereta | D (Manual) | RM1,150 | RM1,350 |
DA (Automatik) | RM1,250 | RM1,550 |
Calon-calon disarankan membuat tinjauan dan perbandingan harga di setiap Institut Memandu atau Sekolah Memandu yang berdekatan sebelum membuat keputusan untuk mendaftar kerana terdapat Institut Memandu atau Sekolah Memandu menawarkan harga lebih murah serta mengikut harga siling yang ditetapkan oleh JPJ.
Kelas Lesen Motosikal Dan Kereta
Lesen | Kelas | Info |
---|---|---|
Motosikal | B2 | Tidak Melebihi 250cc |
B (Full) | Melebihi 500cc | |
Kereta | D | Transmisi Manual |
DA | Transmisi Automatik |